Sekali Imbas
Terus-terang, tiada jangkaan awal penulis tentang filem ini kerana apabila melihat pada senarai pelakonnya, hanya dua nama yang benar-benar dikenali iaitu Samuel L. Jackson dan Ray Stevenson. Big Game bukanlah filem terbitan Hollywood, sebaliknya ia merupakan hasil karya produksi dari negara Finland. Namun, plot dan jalan ceritanya adalah berkisar tentang President Amerika Syarikat dan kembaranya bersama seorang…… budak.
TAJUK: Big Game
GENRE: Aksi, Pengembaraan
PENGARAH: Jalmari Helander
PELAKON: Samuel L. Jackson, Onni Tommila, Ray Stevenson
Ulasan Penuh
Umum mengetahui, Amerika Syarikat atau United States of America (US) bolehlah dikatakan sebagai negara paling berkuasa di dunia ini. Mereka mendominasi pelbagai aspek sama ada dari segi ekonomi, tentera, sukan dan sebagainya.
Menonton filem Big Game menguatkan lagi tanggapan penonton tentang perspektif itu, cuma permainannya di sini adalah apa yang akan terjadi sekiranya ‘Lelaki Paling Berkuasa Di Dunia’, merujuk kepada Presiden negara itu, terperangkap di sebuah hutan di Finland dan menjadi buruan kerana dikhianati orangnya sendiri.
Big Game adalah sebuah filem yang walaupun tulisannya agak hambar, tetapi dihiasi dengan keindahan dan humornya tersendiri. Plotnya kadangkala boleh dipertikaikan dari sudut logik fizik namun kerja-kerja yang berkualiti telah menyelamatkan keseluruhan cerita ini.
Samuel L. Jackson yang dikenali dengan wataknya sebagai Nick Fury dalam filem Avengers kali ini muncul sebagai Presiden US, yang terlibat dalam nahas pesawat, menyebabkan dia terhempas di hutan keseorangan. Satu-satunya bantuan yang diterima beliau adalah dari seorang budak lelaki yang berusia 13 tahun, yang sedang dalam usaha membuktikan dirinya di mata masyarakat tempatan.
Justeru, hubungan dan emosi antara dua karekter tersebut menjadi tunjang utama perjalanan cerita ini. Babak antara mereka bedua mencetuskan humor tersendiri.
Masalah bermula apabila filem ini mengambil jalan mudah untuk menhubungkan perkara-perkara tertentu, dan terlalu banyak insiden yang diselesaikan dengan cara yang mudah. Jalan cerita dan pengakhirannya boleh di agak, cuma ekspetasi untuk filem ini betul-betul mempunyai aksi hebat tidak kesampaian.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada ketiga-tiga watak utama cerita ini iaitu Jackson, Tomilla dan Ray Stevenson. Ketiga-tiga mereka Berjaya mempersembahkan kualiti lakonan dan penjiwaan watak yang baik.
Keseluruhan, untuk bajet €8.5 juta dan tempoh tayangan berdurasi 91 minit, filem Big Game bolehlah dikatakan menghiburkan dan berbaloi sekiranya anda menginginkan sebuah filem hiburan ringan dan jalan cerita mudah.
Sipnosis
Presiden Amerika Syarikat (Samuel L Jackson) telah terlibat dalam nahas kapal terbang dan dia terhempas ke sebuah hutan di Finland. Keseorangan dan memerlukan bantuan, beliau kemudiannya bertemu dengan seorang budak lelaki bernama Oskari (Onni Tommila) yang berada di situ untuk membuktikan dirinya sebagai seorang pemburu. Pertemuan yang tak diduga dan berlainan dunia, kedua-dua mereka harus mencari jalan untuk menyelamatkan diri dari hutan tersebut di mana Presiden turut mangsa buruan sekumpulan pengganas yang ingin membunuhnya.
Sumber - murai.com.my
No comments:
Post a Comment