Sunday, August 2, 2015

Kaunter tebus tiket Legoland diserbu

Suasana di kaunter tiket Legoland di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. – Foto Sinar Harian
SHAH ALAM - Tidak sampai dua jam kaunter dibuka kira-kira 1000 tiket Legoland berjaya ditebus orang ramai di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.
 
Pengurus pemasaran dan Penjenamaan Sinar Harian, Hairuddin Hamdan berkata, orang ramai sudah beratur seawal jam 8 pagi lagi.
 
"Sebaik kaunter penebusan dibuka jam 10 pagi, orang ramai terus menyerbu kaunter tiket di sini.
 
"Sejumlah 20,000 tiket boleh ditebus orang ramai di lapan pejabat Sinar Harian seluruh negeri dan 6000 daripadanya adalah di Shah Alam," katanya.
 
Katanya, kaunter berkenaan akan dibuka hingga jam 3 petang dan maksimum 10 tiket sahaja akan diberikan kepada setiap individu.
 
“Orang ramai boleh lagi datang untuk menebus tiket sehingga Rabu ini,” katanya.
 
Ruhani Mat Hussin, 28, yang menebus tiga tiket berkata, dia menyimpan hasrat untuk ke Legoland bersama suami dan dua anaknya buat kali kedua.
 
"Saya rebut peluang yang disediakan Sinar Harian ini untuk membawa sekali lagi anak yang begitu teruja untuk ke sana.
 
"Kami bercadang ke Legoland pada cuti hujung minggu nanti namun tarikh yang tepat belum lagi dipilih," katanya yang bekerja di Nestle.
 
Bagi pekerja pertubuhan NGO (Perubatan Sukan), V Nalini, 36, berkata, peluang yang disediakan Sinar Harian ini amat bagus kerana ia memberi peluang kepada orang ramai untuk ke Legoland.
 
"Tiket ke Legoland mahal, dengan hanya kumpul keratan Sinar Harian kami dapat ke sana.
 
"Ia benar-benar jimatkan duit, saya dapat tahu Sinar Harian sediakan tiket percuma melalui seorang rakan di Johor jadi, saya minta dia belikan lima keping Sinar Harian setiap hari," katanya
 
Dia yang merancang ke Legoland pada 26 Ogos nanti berkata, dia akan ke sana bersama anak dan ibu, adik serta adik ipar.



Sumber Rujukan - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment