KUALA KUBU BHARU - Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak membidas kenyataan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal kelmarin, yang menggesa pemimpin sedia menerima teguran dan tidak hanya menjadi 'yes man'.
Menurutnya, beliau tidak memerlukan pemimpin yang hanya tahu berkata 'ya' di hadapannya tetapi 'tidak' di belakangnya.
“Bukan pemimpin 'yes man' saja yang kita mahu. Kalau nak kata 'no' pun, ada caranya dan perlu kena dengan gayanya. Jangan dalam cakap 'yes man', luar cakap 'no man',” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Hulu Selangor, di IKBN, semalam.
Kelmarin, Shafie menegaskan pemimpin Umno seharusnya bersedia untuk menerima pandangan dan teguran.
Sementara itu, Najib menzahirkan keyakinan BN masih mempunyai masa yang cukup untuk meraih semula kepercayaan rakyat sebelum PRU14.
“Ada yang kata kita akan kalah jika PRU hari ni. Siapa pula kata PRU hari ini? Siapa kata PRU esok? Cuma dalam masa yang ada ini kita mesti membina keyakinan rakyat. Bila sampai masanya, rakyat akan beri sokongan pada BN," katanya sambil meluahkan rasa kesalnya di atas kekalahan Selangor kepada PR.
Selain mengingatkan perwakilan supaya tidak terlalu selesa dengan suasana politik ketika ini, beliau turut menegur sikap syok sendiri ketika melaksanakan persiapan pilihan raya.
“Dulu kita dah terkena. Saya pun kena tipu. Saya dibawa graf tunjuk itu dan ini. Saya pun yakin boleh menang. Tapi kita belajarlah dari pengalaman. Kita perlu baca suasana. Kalau tak berkesan program kita, kita tengok pula keberhasilan program. Jika program tak ada keberkesanan, jadilah macam PRU lalu.
“Bila kita masuk program di Selangor penuh...ada 30,000 orang yang datang. Kita kena ingat yang datang itu bukan semua undi kita...dalam perhimpunan ini pun, bukan semua penyokong tegar kita,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Najib meminta supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkemaskan undang-undang sedia ada bagi memastikan berita palsu tidak tersebar begitu mudah.
Beliau berkata, situasi ini perlu diperbetulkan segera kerana terdapat pihak yang mudah mempercayai fitnah.
“Kita tidak sekat kebebasan bersuara tetapi kita tak mahu kebebasan mutlak hingga ada fitnah yang mereka anggap betul.
“PRU lalu, kita difitnah bawa 40,000 pengundi dari Bangladesh. Macam mana kita nak bawa...1,000 kapal terbang jumbo diperlukan untuk bawa penumpang seramai itu,” katanya.
Najib berkata, beliau sendiri turut menjadi mangsa kekejaman media sosial yang turut melibatkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau dalam pada itu menjelaskan tidak pernah menghalang kemajuan dalam akses media sosial tetapi terpaksa bersedia berdepan risiko fitnah.
Tegasnya, persepsi masyarakat terhadap sesuatu fitnah perlu diperbetulkan dan hanya melalui siasatan dapat membuktikan seseorang itu bersalah atau sebaliknya.
Sumber Rujukan - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment