Wednesday, August 26, 2015

‘P.Ramlee Singapura’ Meninggal Dunia Derita Barah



SINGAPURA – Jika di Malaysia, ada Musly Ramlee yang cukup sinonim kerana sering membawa lagu dan gaya lakonan ala Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee, keadaan sama turut berlaku di Singapura sejak sekian lama.
Namun artis diberi gelaran ‘P. Ramlee Singapura’ atau nama sebenarnya Shafiie Hamzah, dilaporkan meninggal dunia malam Rabu setelah menderita penyakit barah pundi kencing tahap lanjut, lapor media republik itu.
Berita yang agak mengejutkan banyak pihak itu disahkan sendiri oleh Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus) kepada stesen penyiaran tempatan milik pemerintah MediaCorp lewat malam 26 Ogos.
Allahyarham, yang popular kerana penampilan dan gaya rambut seiras seniman legenda Malaysia itu selama ini sering menghiburkan para penonton Singapura dengan aksi dan nyanyiannya yang serupa P. Ramlee sebenar.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia sekitar 43 tahun, iaitu hampir serupa dengan umur terakhir P. Ramlee, yang meninggal dunia di Setapak, Kuala Lumpur dalam usia 44 tahun pada 29 Mei 1973 lalu.
Jenazah Shafiie sudah dibawa pulang ke rumah keluarganya di Tampines dan upacara pengkebumian Allahyarham dijadual dilangsungkan selepas selesai solat fardu zohor di sebuah kawasan perkuburan pada petang Khamis.
Laman Facebook milik peribadi Allahyarham selain juga isterinya, Eza Belle, mula sesak dibanjiri dengan ucapan takziah dan simpati oleh para peminat di Singapura selepas berita kematiannya diketahui pukul 10 malam Rabu.
Allahyarham bersama Sanisah Huri. (Gambar: P Ramlee Singapura/Facebook)
Salah seorang daripada para peminatnya yang enggan dikenali menulis bahawa dia menyifatkan Allahyarham sebagai begini: “Arwahnya seorang yang sangat peramah dan juga begitu merendah diri”.
Pengguna Facebook tempatan, Khairul A. Aron pula menulis: ” Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam golongan orang yang beriman. Beliau antara penghibur yang terbaik. Salute to you bro.
“Saya masih ingat lagi semasa Allahyarham Shafiie membuat persembahan pentas, beliau walaupuan hanya melihat saya dari jauh, tetapi beliau masih lagi sempat melambai tangan pada saya.”
Secara kebetulan sebelum kembali ke Rahmatullah, sejak Julai dan Ogos, beliau tidak putus-putus banyak menerima undangan untuk membuat pelbagai persembahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Antaranya acara Nostalgia Aidilfitri di Pasir Ris pada 2 Ogos yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean dan ramai anggota parlimen serta muka baru politik bagi GRC Pasir Ris-Punggol.
(Allahyarham bergambar dengan Teo Chee Hean (tiga dari kiri: Facebook/P Ramlee Singapura)
Penghibur tersebut dipercayai kali terakhir membuat persembahan pada 16 Ogos, jika akaun Facebook P. Ramlee Singapura boleh dijadikan sebagai sandaran, apabila beliau dikatakan menyanyi sambil duduk di atas kerusi.
Allahyarham kali terakhir aktif menerusi laman Facebooknya sendiri pada 7 Ogos lalu apabila beliau memuat naik gambar poster acara sambutan hari raya iaitu ‘Lambaian Aidilfitri 2015’ di Padang Mega Sembawang.
Poster itu menyatakan Allahyarham; isterinya, Eza Belle dan artis lain, Zainal Ihim, Dahlia dan Hetty Sarlene akan membuat penampilan di acara yang diadakan pada 16 Ogos itu, dan dihadiri Menteri Singapura, K. Shanmugam.
Pengguna Facebook tempatan, Dahlia SenSasi turut sempat memuat naik beberapa gambar Allahyarham yang kelihatan tampil bernyanyi sambil duduk di kerusi dengan tongkatnya pada acara tersebut.
(Gambar: Facebook/Dahlia SenSasi)
Tulisan terakhir Allahyarham sendiri di laman Facebooknya ialah pada 6 Ogos lalu dengan memuat naik beberapa gambar persembahannya sempena menyambut acara Punggol North Community Concert 2015 Cum Arts Festival.
“Assalamu’alaikum dan salam sejahtera buat kawan-kawan Abang Ramlee yang tersayang. Bergambar dengan Menteri, Ms. Penny Low ;)),” ujarnya dipetik sebagai berkata secara ringkas.
Pada 8 Mei lalu, Allahyarham memuat naik gambar surat daripada Pusat Barah Kebangsaan Singapura yang mengesahkan penyakit dialaminya itu, sambil menulis beliau tidak lagi dibenarkan bekerja.
Surat doktor itu bertarikh 28 Januari 2015 itu menyatakan penyakit barah yang dihidapinya itu tidak dapat disembuhkan dan beliau kini menjalani rawatan kemoterapi menerusi titisan intravena setiap minggu.
Proses tersebut memberi kesan sampingan yang besar, justeru Allahyarham tidak lagi dapat bekerja seperti biasa.
Shafiie Hamzah di Hospital Besar Singapura. (Gambar: Facebook/P Ramlee Singapura)
Pada 17 Julai lalu pula, Allahyarham Shafiie sempat lagi menulis menerusi laman Facebook menyatakan bahawa beliau sudah hampir dua minggu menerima rawatan penyakit barah di Hospital Besar Singapura (SGH).
“Sekarang ini lagi menunggu kedatangan isteri dan anak-anak serta ahli keluarga yang lain datang ke sini untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama dengan Abang Ramlee,” ujarnya. – Sumber

No comments:

Post a Comment