Sejak kemunculan dan penggunaan zaman siber yang semakin meluas, imej pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat kian tercalar kerana diasak dengan persepsi negatif serta ketidakyakinan masyarakat terhadap anggota yang bermasalah.
Selain tuntutan umum mengenai ketelusan dan ketepatan, imej PDRM dipandang rendah kerana penyebaran berita secara meluas atau viral di media sosial yang belum disahkan kesahihannya sehingga menimbulkan kegusaran dan kegelisahan rakyat Malaysia.
Sedia maklum peranan utama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
untuk menjaga keamanan negara bukan satu tugas yang mudah.
Lebih-lebih lagi dalam membanteras jenayah berat seperti rompakan bersenjata,
penyalahgunaan dadah, kes rogol, pembunuhan atau apa sahaja jenayah yang
terancang.
Kewibawaan pasukan Polis Malaysia yang kini terdiri daripada
111,450 orang pegawai dan anggota di seluruh Malaysia harus dipandang tinggi
dan mana-mana pihak tidak sepatutnya mempertikaikan intergriti atau tindakan
susulan yang dilakukan kepada pesalah.
Institusi pasukan Polis Diraja Malaysia terdiri daripada lima
jabatan yang terlibat dalam pencegahan jenayah berta iaitu Jabatan
Siasatan Jenayah Narkotik, Siasatan Jenayah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri
dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah
Komersil.
Setiap jabatan mempunyai misi dan visi yang perlu dilaksanakan
untuk sentiasa memastikan negara berada dalam keadaan selamat dan aman
sepanjang masa. Sebagai contoh kemunculan filem Polis Evo kelak di pawagam
adalah untuk menyokong penuh selain memberi kesedaran kepada umum tentang
peranan sebenar pasukan polis di negara kita.
Untuk menangkis imej dan persepsi negatif masyarakat terhadap
PDRM, filem Polis Evo yang diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan mendapat kerjasama
sepenuhnya oleh pihak polis tampil menyingkap masalah penyalahgunaan dadah yang
semakin meruncing di negara kita sejak akhir-akhir ini.
Dengan kehidupan yang semakin mencabar dari segi pembangunan
infrastruktur dan sosialnya, musuh nombor satu negara ini perlu dibanteras
dengan segera kerana ianya akan melahirkan generasi yang kurang sihat
terutamanya golongan remaja.
Statistik penyalahgunaan dadah yang dikeluarkan oleh Agensi
Antidadah Kebangsaan menunjukkan peningkatan masalah penggunaan dadah di
kalangan rakyat Malaysia. Masalah tersebut membuka mata umum terutamanya
penggiat industri seni tanah air bekerjasama dengan pihak PDRM untuk sama-sama
memberi kesedaran terhadap umum.
Plot filem Polis Evo mengetengahkan kisah seorang Inspektor
narkotik terbaik dari Kuala Lumpur yang bergabung dengan seorang lagi inspektor
yang bertugas di kawasan luar bandar untuk menyelesaikan kes dadah jenis Syabu
yang melibatkan operasi pengedaran dadah di Terengganu.
Kemunculan filem Polis Evo pada 17 September kelak secara tidak
langsung mengangkat martabat dan intergriti PDRM di mata umum selain pelbagai
pihak sama-sama menyokong institusi polis dalam menjaga keamanan negara.
Apa sekali pun, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya bersatu
padu dan bergandingan bahu dengan pihak Polis Diraja Malaysia membanteras
jenayah berat supaya kita berada dalam selamat dan dapat menjalani kehidupan
seharian dengan lebih selesa.
Filem Polis Evo diterajui Shaheizy Sam dengan Zizan Razak. Ia
turut dibantu Allayarham Harun Salim Bachik, Wan Hanafi Su, Amerul Affendi
serta Nora Danish.
No comments:
Post a Comment