Monday, August 10, 2015

Pemimpin Pembangkang Anggap Khairy Jamaluddin ‘Hero’

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memuji Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana berani menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka.


Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low sangat berani kerana membantah pemindahan dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kedua-dua mereka sebenarnya patut mengambil tindakan yang lebih tegas sebagai tanda bantahan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Fahmi meminta Khairy Jamaluddin dan Paul mengambil tindakan yang lebih tegas dengan meletak jawatan sebagai tanda bantahan ke atas kepimpinan Najib.
Khairy Jamaluddin sebelum ini menegaskan beliau rela disingkirkan daripada barisan Kabinet jika tindakannya mempertikaikan pertukaran pegawai kanan SPRM tidak disenangi kerajaan.
Menurut Khairy Jamaluddin, berdasarkan pendirian sesuatu yang benar mesti dipertahankan.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa tiada mana-mana ahli Kabinet yang berani menyerang kepimpinan Najib selain Khairy Jamaluddin.
“Siapakah yang sedang mentadbir negara sekarang kerana ahli-ahli Kabinet yang lain selain Khairy, termasuk Timbalan Perdana Menteri yang baru sibuk mempertahankan Najib,” dakwanya.
Tuan Ibrahim dalam pada itu berharap nama Perdana Menteri boleh dibersihkan dengan cepat memandangkan Najib yakin beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan. 

Sumber – Mynewshub.cc

No comments:

Post a Comment